MyESEI - ADAKAH PENGGUNA TERLALU OBSES DENGAN PRODUK KOSMETIK? KONGSIKAN PENDAPAT ANDA.


            Manusia sememangnya hidupan yang begitu eksotik. Salah satu yang meletakkan ciri sebegitu pada manusia ialah kecantikan yang dimiliki. Justeru, istilah kecantikan didefinisikan begitu subjektif dan universal. Di Iran, wanitanya begitu obses dengan hidung yang dibedah kerana pada pandangan mereka mempunyai hidung yang besar dianggap hodoh, begitu juga halnya di Mauritania di mana wanita gemuk dilihat seksi dan mengghairahkan. Satu kaum di Thailand pula menganggap leher panjang itu cantik, lantas sejak dari umur 5 tahun lagi, mereka sudah dipakaikan gelang logam di leher agar leher mereka akan menjadi semakin panjang yang akan menampakkan mereka kelihatan cantik. Tidak terkecuali di negara kita Malaysia, suku kaum Oran Ulu di Sarawak beranggapan telinga panjang itu sangat cantik pada mata mereka, lagi panjang, lagi cantiklah seseorang wanita itu. Persoalannya, bagaimana untuk menzahirkan kecantikan itu pada diri sendiri?. Sejarah telah lama merungkaikan jawapannya. Dicatatkan bahawa seawal 4000SM kosmetik telah di gunakan oleh orang-orang Yunani Purba dan Rom. Penemuan oleh pakar arkeologi mendapati kebanyakan penduduk di Mesir Purba menggunakan kosmetik yang di buat oleh kanak-kanak perempuan yang di gelar Cosmetae. Salah satu alat kosmetik yang di temui ialah Kohl, yang digunakan untuk garis mata atau mungkin lebih dikenali sebagai ‘eye liner’ pada hari ini. Kurun ke kurun, abad ke abad, tahun ke tahun telah berlakunya perkembangan dalam penggunaan kosmetik. Dari penghasilan untuk kegunaan diri sendiri ianya terus menapak memasuki carta barang jualan dunia.
            Teori ekonomi yang menyatakan bahawa “kehendak manusia tidak terbatas” dilihat relevan dengan arus kemodenan dunia hari ini. Permintaan tinggi terhadap pelbagai barangan di pasaran mengukuhkan lagi fakta tersebut. Salah satu barangan yang berada di saf paling hadapan berkaitan kenaikan graf penawaran dalam ekonomi dunia ialah produk kosmetik. Data terkini yang dikeluarkan oleh Institute of Personal Care Science of Australia baru-baru ini menganggarkan pasaran kosmetik global ketika ini bernilai kira-kira AS$334 bilion (RM1,169 bilion). Relevan dengan penawaran kompetetif pelbagai produk kosmetik di pasaran yang dilihat bagaikan ‘cendawan tumbuh selepas hujan’ membuktikan bahawa permintaan terhadap produk ini sangat tinggi. Senarai panjang pelbagai jenama dunia dan tempatan, asli mahupun berteknologi tinggi di pasaran dunia menampakkan bahawa senario permintaan terhadap produk-produk kosmetik sangat menggalakkan. Ianya boleh dianggap sebagai satu revolusi dalam dunia penjagaan diri. Perkembangan revolusi ini berkembang seantero dunia yang kemudiannya merebak ke negara kita Malaysia. Jenama-jenama seperti Sendayu Tinggi, Felisa Kosmetik, Nouvelles Vissages dan yang terbaru Simply Siti bangkit bersaing sesama sendiri di samping berusaha meletakkan jenama setaraf dengan produk antarabangsa seperti L’Oreal, Maybelline, Avon dan Olay. Pelbagai kajian dijalankan oleh syarikat-syarikat kosmetik ini untuk membuktikan keberkesanan produk masing-masing. Produk kosmetik dari Malaysia misalnya banyak menggunakan tumbuhan-tumbuhan herba dan ekstrak buah-buahan di samping menekankan konsep HALAL sebagai menarik minat pembeli di kalangan masyarakat Islam. Walau apapun percaturan yang dilakukan oleh syarikat-syarikat ini, ‘checkmate’nya ditentukan oleh kuasa pengguna. Berbalik kepada teori ekonomi, sesuatu penawaran akan meningkat berikutan tingginya permintaan di pasaran. Permintaan di pasaran ini menjadi kayu ukur, mengapa wujudnya kepelbagaian penawaran produk di pasaran. Justeru, ‘sudah terang lagi bersuluh’ masyarakat dunia amnya dan Malaysia khasnya sangat obses dengan produk kosmetik.
             ‘Kecantikan adalah hak milik setiap insan’ , meminjam pujangga promosi salah satu produk kosmetik terkenal di rantau asia iaitu Nouveau Visage, ianya begitu relevan untuk dikaitkan sebagai faktor utama mengapa pengguna begitu taksub dengan penggunaan produk kosmetik. Siapa yang tidak mahu cantik? Semua orang hendak cantik. Jika dahulu mungkin wanita yang selalu mementingkan penjagaan diri, namun hari ini ramai lelaki yang mula sedar akan penampilan diri di mata umum. Jantina bukan lagi persoalannya. Justeru, salah satu cara terbaik untuk mendapatkan atau mengekalkan penampilan diri adalah dengan menggunakan produk kosmetik. Dek kerana itulah masyarakat hari ini berlumba- lumba untuk memiliki produk kosmetik. Alasan yang paling munasabah yang digunakan ialah untuk kelihatan cantik. Si isteri hendak cantik supaya si suami tidak kahwin lain, si suami pula hendak cantik supaya dapat kahwin lain. Agak ‘jahat’ telahan ini, namun itulah kenyataannya. Bukan soal kahwin yang ingin dibincangkan. Namun perkaitan yang rapat antara sebab dan musabab mengapa pengguna hari ini begitu obses dengan produk kosmetik. Ramai isteri yang sanggup berhabis ribuan ringgit kerana bimbang si suami memandang wanita lain yang lebih jelita. Justeru untuk memiliki kejelitaan yang sama, adalah dengan memakai produk kosmetik. Jadi benarlah bagai dikata di awal bicara, ‘kecantikan adalah hak milik setiap insan’.
            Frasa ‘tua mengejar kita’ bagaikan sesuatu yang sangat sukar diterima oleh masyarakat moden hari ini. Anjakan usia pastinya tidak boleh dipinda maka rupa paras seharusnya dipertahankan supaya kekal muda. Modenasisi hari ini menolak kemungkinan masyarakat menggunakan khidmat ‘bomoh’ untuk kekal muda. Oleh kerana itulah pengguna begitu obses dengan produk-produk kosmetik di pasaran. Nama-nama seperti Shiseido, Loreal, Maybelline, Simply Siti, Avon dan sebagainya menjadi pilihan pengguna ketika ini. Tambahan pula mereka diyakinkan dengan bahan-bahan yang terkandung dalam produk-produk tersebut yang kononnya boleh menjanjikan penggunanya kelihatan ‘awet muda’. Vitamin C  yang terkandung dalam produk-produk kosmetik di pasaran difahami dapat membantu mengekalkan kelembapan kulit wajah. Ianya merupakan anti osidan yang boleh menurunkan kadar kerosakan kulit akibat daripada radikal bebas yang boleh menyebabkan kulit kering kering dan berkedut. Terdapat juga produk-produk yang mengandungi bahan terlarang seperti Hydroquinone. Iaitu sejenis bahan pemutih yang yang boleh menyebabkan kulit menjadi kemerah-merahan dan terbakar. Walaupun produk-produk kosmetik yang mengandungi bahan ini dilarang penjualannya di Malaysia, namun ianya masih lagi boleh didapati secara mudah di pasaran tempatan. Jenguk sahaja sekitar Masjid Jamek di Kuala Lumpur anda pasti akan menjumpainya. Inilah realiti masyarakat kita Malaysia yang begitu mementingkan penampilan diri dan senantiasa ingin kelihatan ‘awet muda’. Hal-hal seumpama ini, jelas membuktikan bahawa masyarakat kita sememangnya sudah begitu kemaruk untuk kekal muda jelita sepanjang waktu yang kemudiannya membawa kepada sikap begitu obses dengan produk-produk kosmetik.
            Penggunaan produk yang serba mudah, ringkas dan cepat juga merupakan salah satu faktor mengapa pengguna begitu taksub memiliki produk kosmetik. Mereka tidak perlu lagi membanting tulang dan bermandi keringat untuk mencari akar kayu dan kemudian merebusnya sebelum menahan rasa pahit untuk meminumnya. Kini dengan hanya semudah belajar ‘abc’ mereka akan perolehi apa yang diimpikan. Justeru para saintis mewakili produk masing-masing saling bersaing untuk menghasilkan produk yang bukan sahaja berkesan tetapi begitu mudah dan ringkas penggunaanya. Simply Siti misalnya mempertaruhkan nanoteknologi hasil kajian yang dijalankan di Negara Korea. Nanoteknologi merupakan penemuan terbaru dipercayai boleh membuang sel bawah kulit yang menyebabkan wajah kelihatan tua lantas menjadikanya kelihatan lebih muda dengan hanya menyapu sahaja produk tersebut tanpa perlu melakukan sebarang pembedahan. Nah! begitu mudah penggunaan kosmetik pada hari ini. Tidak perlu masa yang panjang atau membawa alatan yang pelbagai dan membebankan. Hanya dengan alat sebesar jari kelingking anda akan kelihatan lebih muda berbanding usia. Peredaran masa yang menyaksikan pengguna hari ini begitu sibuk, menyebabkan produk-produk seperti Estee Lauder, MAC, Clinique, Lancome, DKNY dan Elizabeth Arden memudahkan pengguna dengan mengeluarkan produk yang kecil, ringkas dan mudah dibawa. ‘Mini set’ ini sememangnya sangat sesuai dengan pengguna hari ini yang begitu kesuntukan masa dalam menguruskan kerja-kerja seharian. Tambahan pula ‘mini set’ ini bukan sahaja mudah dan ringkas tetapi juga pengguna akan kelihatan lebih ‘natural beauty’ dan tidak lagi seperti memakai ‘tepung gomak’. Justeru, dengan adanya ciri-ciri penting yang terdapat dalam produk kosmetik yang sangat relevan dengan senario modenisasi hari ini sememangnya menambahkan lagi tahap ‘kemaruk’ pengguna kosmetik di Malaysia.
            Pengguna di Malaysia kadang-kadang dilihat begitu lembut hati. Mudah menerima sesuatu tanpa alasan dan pertanyaan. Dengan kata lain mudah terpengaruh dan dipengaruhi. Hal ini diantara yang menjadi punca kenapa dan mengapa pengguna begitu begitu obses dengan produk kosmetik di pasaran?. Salah satu bentuk pengaruh yang sangat kuat datangnya daripada golongan artis. Sememangnya tidak dapat dinafikan kecantikan dan kejelitaan artis seringkali di jadikan contoh dan ikutan masyarakat hari ini. Siapa yang tidak mahu kalah dengan kecantikan Erra Fazira, seksinya Nasha Aziz, keayuan Dato’ Siti Nurhaliza dan kecomelan Nora Danish. Dek kerana itulah ramai masyarakat berlumba-lumba untuk memiliki pakej penampilan diri seperti idola mereka. Justeru taruhan mereka pastinya produk kosmetik yang digunakan oleh idola mereka. Apabila Erra Fazira diangkat menjadi model Avon, maka ramailah peminat-peminatnya mencuba produk Avon. Apabila Dato’ Siti Nurhaliza beralih dari menjadi duta Maybelline kepada produk sendiri, maka ramailah peminatnya yang turut mengggunakan produk Simply Siti. Memang susah untuk menafikan penangan artis terhadap produk kosmetik. Selain daripada pengaruh artis, pengaruh iklan juga dilihat menjadi punca obsesnya pengguna memiliki produk kosmetik. Paparan-paparan iklan di media cetak mahupun elektronik sangat mudah menakluk nafsu pengguna di Malaysia. Masakan tidak, hampir 70% paparan di majalah adalah berkaitan dengan promosi produk kosmetik. Datang dengan hasil lakaran, warna serta model yang menarik sudah pasti mencairkan hati pengguna. Tambahan pula dibuktikan dengan testimoni pengguna-pengguna terdahulu. Tidak dapat tidak, maka ramailah pengguna ingin mencuba produk yang sama. Apabila istilah ‘mencuba’ maka pengguna disogok pula dengan ‘set percubaan’.  Aduhai! Manalah hendak lari apabila asyik dikejar dengan pelbagai bentuk dan cara promosi. Dek kerana tidak kuat menahan nafsu, maka obseslah pengguna di Malaysia untuk mencuba pelbagai produk kosmetik.
             Apapun faktor yang mendorong pengguna di Malaysia begitu obses dengan produk kosmetik di pasaran yang penting adalah kesannya samada ke atas individu mahupun negara. Walau apapun jalan ceritanya, kedua-duanya adalah saling berkait rapat. Peningkatan jualan produk kosmetik dek kerana permintaan yang tinggi di pasaran sebenarnya telah membuka peluang perniagaan yang begitu cerah kepada rakyat Malaysia.  Optimis terhadap permintaan produk kosmetik yang melambung abad ini, ramai usahawan baru muncul bersaing dalam menghasilkan produk kosmetik di pasaran. Pertumbuhan positif dalam gelombang ekonomi Malaysia ini menyaksikan beberapa muka baru muncul sebagai jutawan kosmetik seperti Allahyarhamah Datuk Sosilawati Lawiya iaitu pengasas Nouvelle Visages dan Rozita Ibrahim selaku peneraju Sendayu Tinggi Enterprise. Agak menarik melihat pusingan pasaran ini. Obsesnya pengguna terhadap produk kosmetik sebenarnya telah membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia. Ramai peniaga kecil muncul dengan membuka stokis-stokis perniagaan kosmetik. Stokis Avon dan Cosway misalnya mula berkembang ke seluruh negara kita bermula dari pekan kecil Gerik di utara sehinggalah ke bandaraya besar seperti Johor Bahru di selatan tanahair. Catatan di tahun 2011 memperlihatkan Avon memiliki 179 buah stokis di seluruh Malaysia. Kemunculan stokis-stokis kosmetik di persada pasaran tempatan  ini telah memberi ruang kepada anak-anak muda yang banyak menganggur di negara kita Malaysia untuk bekerja dan menampung sara hidup mereka. Rentetan daripada ini ianya turut membantu janaan ekonomi Negara. Masakan tidak masyarakat di negara kita sanggup berbelanja ribuan ringgit semata-mata untuk memilik produk kosmetik dambaan hati. Utusan Malaysia bertarikh 18 September 2010 melaporkan pendapatan kosmetik di pasaran negara mencecah hampir RM3.42 bilion pada tahun 2010. Angka yang begitu besar ini merupakan gambaran yang sangat jelas bahawa industri kosmetik merupakan diantara penyumbang utama kepada kestabilan ekonomi negara. Seiring dengan peningkatan produk kosmetik ini, salah satu cabang industri yang turut merasai ‘tsunami’ kosmetik ini ialah industri sains dan teknologi. Gabungan sains dan teknologi dalam perawatan wajah di lihat memberi impak yang sangat besar. Pelbagai kajian dan penyelidikan secara saintifik harus dilakukan untuk mempastikan bahawa setiap perakuan tentang khasiat dan integriti produk mempunyai alasan-alasan betul dan kukuh, dan tidak ada keraguan. Juga, produk-produk mesti mematuhi standard-standard antarabangsa, terutama dari segi keselamatan, kesihatan dan juga keperluan-keperluan alam sekitar. Justeru, banyak syarikat kosmetik hari ini mempertaruhkan teknologi terkini bagi menghasilkan produk yang terbaik. Di abad ini ‘nanoteknogi’ adalah salah satu bentuk sains teknologi yang terkini telah digunapakai terutama dalam bidang penghasilan produk kosmetik. Walaupun ianya masih baru dalam industri kosmetik tempatan namun ianya juga bukanlah terlalu ketinggalan berbanding produk antarabangsa. Adanya  pelbagai medium perantara yang lebih efisyen dekad ini menjanjikan industri kosmetik tempatan juga akan sentiasa ‘up to date’.
            Sudah menjadi hakikat alam, yang putih ada hitamnya, yang cantik ada hodohnya begitu juga yang baik ada buruknya. Kepelbagaian produk kosmetik di pasaran telah memudahkan pengguna untuk membuat pilihan dalam mencari yang terbaik. Kebijaksanaan dan mempunyai ilmu pengetahuan dalam hal-hal berkaitan kosmetik memastikan pengguna dapat memilih yang berkesan dan sesuai dengan mereka. Pilihan yang tepat perlu dilakukan memandangkan limpahan produk kosmetik di pasaran memberi pelbagai kesan kepada si pemakai. Walaupun kajian sains dan teknologi digunapakai dalam industri kosmetik tempatan bagi memastikan setiap barangan memenuhi piawaian standard antarabangsa namun terdapat juga syarikat kosmetik yang sekadar ‘lepas tangan’ dan ‘acuh tak acuh’ dalam menghasilkan produk yang boleh memberi ‘mala petaka’ kepada pengguna. Syarikat-syarikat ini sebenarnya muncul tanpa integriti sebaliknya hanya sekadar ingin meraih keuntungan perniagaan. Dek kerana itu syarikat-syarikat ini menggunakan bahan aktif berbahaya seperti monobenzil dan monometil hidrokuinon, raksa, asid askorbik dan peroksida dalam produk mereka untuk membolehkan pengguna melihat kesan cepat seperti diharapkan kebanyakan wanita. Penghasilan produk tanpa mengikut kepada bahan-bahan yang diluluskan akan menyebabkan pelbagai kesan negatif kepada pengguna. Produk yang menggunakan bahan seperti Hydroquinon telah diharamkan penjualannya di Malaysia. Hydroquinone adalah sejenis racun yang pastinya akan mencerahkan kulit si pemakainya pada peringkat awal, kemudian sedikit demi sedikit pengguna akan mengalami alahan dan pelbagai penyakit kulit yang serius. Banyak sudah laporan di dada-dada akhbar atau di media elektronik yang memperlihatkan kesan penggunaan produk kosmetik yang mengandungi bahan terlarang ini.  Oleh kerana itu pihak kerajaan telah mewujudkan beberapa akta bagi memastikan hak pengguna dijaga. Contohnya Akta Racun 1962, Walaupun begitu pengguna tidak harus membiarkan pihak kerajaan bertepuk sebelah tangan’. Dalam menangani permasalahan ini, kedua-dua pihak harus berpimpin tangan bagi memastikan industri kosmetik Malaysia sentiasa ‘suci’. Walaupun terdapat banyak produk yang asli dan boleh diklasifikasi Gred A mudah dijumpai di Malaysia, ramai pengguna dilihat begitu obses dengan produk kosmetik cuba memilikinya tanpa memikirkan kesan jangka masa panjang. Kadang-kadang soal bahaya dilupakan apatah lagi halal haram langsung tidak dipedulikan.  Pengguna seharusnya lebih bijak dan berwaspada dalam mencari yang terbaik dan memberi kesan positif apabila memakainya. Buang seketika tanggapan yang menyatakan yang mahal lebih berkualiti kerana hari ini sudah banyak produk kosmetik di pasaran yang berpatutan harganya tetapi kesan penggunaannya sangat memberangsangkan. Jika tidak berani menggunakan produk antarabangsa, was-was akan status halalnya, guna sahaja produk tempatan yang pasti telah disaring pelbagai peringkat sebelum menembusi pasaran. Harus diingat bahawa implikasinya bukan ke atas orang lain tetapi diri sendiri. Syarikat-syarikat kosmetik pula seharusnya lebih bertanggungjawab dan berintegriti dalam menghasilkan produk yang terbaik. Mengejar keuntungan dengan jalan pintas selalunya seketika cuma. Kerajaan pastinya seperti biasa akan memastikan hak pengguna sentiasa dilindungi ‘bagai menatang minyak yang penuh’. Namun kadangkala pengguna perlu ‘dirotan’ sekali sekala bagi menyedarkan kealpaan mereka. Sekiranya semua pihak tahu memainkan peranan masing-masing memungkinkan musibah mendatang akan berkurangan.
            Tuntasnya, jika ditebak dengan persoalan adakah pengguna di Malaysia begitu obses dengan produk kosmetik? Sememangnya tidak boleh dinafikan akan hakikat itu. Bersandarkan kepada teori ekonomi ‘semakin tinggi permintaan maka semakin meningkat penawaran’ telah membuktikan bahawa pengguna di Malaysia hari ini sangat obses dengan produk kosmetik. Ini kerana telah berlaku peningkatan mendadak permintaan produk kosmetik di negara kita Malaysia. Walau apapun yang menjadi punca kenapa pengguna hari ini begitu taksub untuk membeli produk kosmetik. Jawapannya dilihat begitu subjektif dan universal. Ada yang mencarinya untuk tujuan kecantikan dan ada juga yang terpengaruh dengan rakan-rakan. Walau bagaimanapun, kegilaan pengguna untuk memiliki produk kosmetik ini turut membantu kenaikan graf ekonomi Malaysia. Persaingan kompetetif dalam pasaran produk kosmetik telah berjaya membantu dalam mengurangkan kadar pengangguran rakyat Malaysia.
            Obsesnya pengguna terhadap produk kosmetik sebenarnya merupakan salah satu intipati kehidupan yang muncul dicelah-celah dunia moden hari ini. Seiring dengan pergerakan masa menuju abad demi abad, entah apa gamaknya akan berlaku kepada ‘dunia kosmetik’ hari ini suatu masa nanti tidak diketahui. Ianya mungkin sekadar ‘bermusim’ atau ‘lestari’ atau terus lenyap dek kerana ada sesuatu yang lebih baru. Apapun yang tergambar di minda masing-masing, kita sebagai pengguna sepatutnya harus lebih bersedia dengan apa juga jalan cerita nanti. Bersedia dengan minda yang lebih terbuka dan ilmu yang lebih luas akan membantu untuk membuat pilihan yang ada pada masa hadapan. Jadilah pengguna yang bijak. ‘Tepuk dada, tanya selera”.

 Sijil yang aku dapat. Dapat Sijil jer........
           

PROPA AZZA

Salam.. Saja nak nunjuk pada korang majalah yang aku buat sempena Sukan PKN hahahahahah.......... Waktu tu takda keje sangat ...