MyESEI - SEJAUH MANA TANGGUNGJAWAB SOSIAL KORPORAT MEMBERIKAN MANFAAT KEPADA MASYARAKAT ?

Globalisasi hari ini menyaksikan pertumbuhan pesat syarikat-syarikat korporat di Malaysia yang boleh diumpamakan seperti cendawan tumbuh selepas musim hujan. Ironinya, kemunculan sektor korporat dilihat sebagai satu entiti yang sekadar mencari keuntungan semata-mata. Walau bagaimanapun mereka turut memainkan peranan yang cukup besar dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.  Peranan mereka sebagai pembayar cukai primer, menyediakan peluang pekerjaan, penawaran kepelbagaian produk dan sebagainya tidak seharusnya dipandang sebelah mata. Tidak dinafikan akan peranan yang diberikan oleh mereka, tetapi bersandarkan kepada hukum alam bahawa kehendak manusia adalah tidak terbatas, rakyat marhaen seperti kita memerlukan lebih daripada itu untuk meneruskan kelangsungan hidup di dalam arus kemodenan dunia yang serba pantas dan berliku. Justeru tanggungjawab sektor korporat bukan sekadar ditagih melalui aspek ekonomi semata-mata tetapi tanggungjawab lain yang lebih holistik.  Berpaksikan kepada faktor itu, Rancangan Malaysia Ke Sembilan (RMK 9) telah menekankan aspek kerjasama erat di antara sektor korporat dan kerajaan dalam usaha mencapai keseimbangan sosioekonomi negara. Sektor korporat diminta untuk turut berada di saf hadapan dan seiring sejalan dengan pihak kerajaan bagi memastikan kesejahteraan masyarakat terbela dan tidak sahaja tergalas di bahu sebelah pihak semata-mata. Gabungan kedua-dua entiti penting ini dilihat menjadi perintis dan prasyarat utama untuk merealisasikan misi nasional dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat Malaysia. Penglibatan sektor korporat secara aktif Inilah yang dimaksudkan tanggungjawab sosial korporat atau Corporate Social Responsibility (CSR). Secara umumnya, tanggungjawab sosial korporat membawa maksud penglibatan secara aktif sektor swasta melalui penyertaan atau sumbangan kepada komuniti yang bertujuan untuk menambah baik kesejahteraan masyarakat. Dalam hal ini sektor korporat boleh memainkan peranan dalam pelbagai bidang merangkumi aspek pendidikan, kesihatan, alam sekitar dan ekonomi. Ringkasnya tanggungjawab ini sekiranya direalisasikan dengan niat murni dan adil pastinya memberi seribu satu manfaat kepada masyarakat.         
             Merencana perjalanan Malaysia ke arah pencapaian Wawasan 2020 memerlukan masyarakat yang mempunyai daya intelek tinggi. Hal seumpama ini akan dapat dilahirkan hasil daripada pendidikan yang sempurna. Perkembangan pendidikan di Malaysia sememangnya senantiasa berubah mengikut arus dan tidak jauh ketinggalan jika dibandingkan negara-negara maju yang lain. Ramai rakyat Malaysia berjaya menjadi cendekiawan dan muncul sebagai yang terbaik di mata dunia. Tiga orang pelajar Maktab Rendah Sains Mara Terendak, Melaka telah berjaya mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila memenangi pingat emas di Pertandingan Reka Cipta Pemuda Antarabangsa 2011 di Taiwan. Idea mereka untuk menghasilkan tenaga hanya dengan menggunakan air garam merupakan satu bukti yang jelas bahawa pendidikan di Malaysia tidak harus dipandang lekeh. Justeru bagi memastikan usaha untuk memastikan pendidikan Malaysia menjadi terbaik di kalangan yang terbaik, peranan sektor swasta amat diperlukan. Sumbangan dan penglibatan mereka ialah pemangkin dalam menjelmakan impian itu. Berpegang kepada tanggungjawab sosial yang diamanahkan banyak sektor korporat menubuhkan universiti di bawah kendalian sendiri. Seandainya dibuat telahan nakal mungkin akan mengatakan bahawa penubuhan universiti tersebut adalah bertujuan untuk mencari keuntungan. Walau bagaimanapun dilihat daripada perspektif positif manfaat daripada penubuhan universiti ini akan dapat membantu anak muda daripada terbiar berpelesiran dan gelap masa hadapan. Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Multimedia (MMU) dan Lim Kok Wing University merupakan di antara universiti terbaik di Malaysia yang mendapat pengiktirafan antarabangsa. Berdiri kukuh universiti-universiti ini di celah-celah arus pembangunan negara membantu dalam mencipta hala tuju anak bangsa Malaysia. Tidak sekadar di peringkat universiti, pencapaian pendidikan di peringkat rendah dan menengah juga perlu diberi perhatian. Sememangnya kerajaan sudah menyediakan prasarana yang mencukupi tetapi adalah lebih molek untuk sektor korporat turut memberi sumbangan sebagai melahirkan sesuatu yang lebih ’sempurna’. Ianya tidak semestinya disalurkan dalam bentuk biasiswa semata-mata tetapi mungkin boleh disalurkan melalui penambahbaikan prasarana sekolah. Persekitaran yang baik sudah pasti menjamin keselesaan dalam pembelajaran. Keselesaan belajar pula akan dapat meningkatkan kecemerlangan akademik para pelajar. Oleh kerana itu pasar raya Giant melalui program Edufund Giant telah membantu beberapa buah sekolah melalui sumbangan menaiktarafkan perpustakaan, pembelian komputer, buku rujukan dan sebagainya. Program berkonsepkan ’win-win situation’ ini seharusnya diterima baik oleh semua pihak memandangkan ia dapat memudahkan lagi sistem pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
            Manfaat daripada tanggungjawab sosial korporat yang diberikan melalui sistem pendidikan negara tidaklah diharapkan untuk menjelmakan individu paling bijak di dunia cukup sekadar menyelamatkan anak bangsa hari ini daripada terjebak ke kancah hedonisme seterusnya membantu mereka membentuk sahsiah dan jati diri hasil daripada kesempurnaan pendidikan yang diterima.  
            Kesihatan merupakan satu isu yang penting dan individu yang sihat boleh memainkan peranan yang efektif dalam pembangunan masyarakat dan negara. Oleh itu, tidak cukup rasanya tanggungjawab sosial korporat hanya berkisar kepada aspek pendidikan semata-mata, tetapi peningkatan taraf kesihatan masyarakat juga satu perkara yang begitu signifikan. Menurut Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Liow Tiong Lai, taraf kesihatan rakyat Malaysia kian menurun dan bilangan yang menghidapi penyakit bukan berjangkit semakin tinggi. Mengambil kira tempoh lima tahun yang lalu, bilangan pesakit yang mempunyai masalah kolesterol, obesiti dan diabetes meningkat dengan begitu ketara. Bertunjangkan kepada faktor ini tanggungjawab sosial korporat amat diharapkan di dalam usaha untuk meningkatkan kembali taraf kesihatan masyarakat Malaysia. Program-program hasil anjuran dan tajaan sektor korporat dapat memberi manfaat sepenuhnya untuk melahirkan masyarakat yang cergas tubuh badan dan cerdas pemikiran. Syarikat gergasi AEON Co (M) Sdn. Bhd misalnya pernah menganjurkan satu program yang dinamakan World Blood Donar Day Apprecaition Ceremony 2010 yang memfokuskan kepada galakan kepada orang awam untuk menderma darah bagi menampung keperluan darah negara. Hasil daripada aktiviti seperti ini dapat meningkatkan tahap kesedaran serta memberi pemahaman yang lebih luas dan jelas akan implikasi positif yang diterima apabila melakukan pendermaan darah. Seterusnya membawa kepada rasa ikhlas untuk membantu sesama insan. Berpegang kepada kesihatan yang baik menjamin pekerjaan yang sempurna syarikat Telekom Malaysia Bhd secara langsung mewujudkan satu sistem yang dinamakan Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja atau OSHAS. Idea ini diterjemahkan bertujuan untuk melahirkan kesedaran dan mewujudkan peningkatan daripada segi keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Inisiatif ini dapat memberi manfaat bukan sahaja kepada kakitangan Syarikat semata-mata malahan tempiasnya boleh dirasai juga oleh masyarakat Malaysia amnya. Melalui OSHAS, Telekom menganjurkan banyak program seperti ceramah dan pemeriksaan kesihatan percuma yang tidak sekadar untuk ’anak buah’ sahaja tetapi secara menyeluruh termasuk masyarakat sekeliling. Adanya program-program seumpama ini tidak setakat mempromosi jenama produk atau perkhidmatan yang ditawarkan malahan telah memberi manfaat yang begitu besar maknanya kerana ia membantu orang ramai untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan dengan lebih mudah, murah dan cepat tanpa perlu ke hospital yang memerlukan belanja besar dan masa menunggu yang begitu lama. Selain daripada anjuran aktiviti-aktiviti kesihatan, penjagaan pemakanan harian juga merupakan faktor penting yang perlu diberi penekanan. Pemakanan yang tidak seimbang ditambah dengan lambakan ’makanan segera’ di pasaran menyebabkan masyarakat Malaysia mudah menghidapi penyakit-penyakit kronik seperti jantung, diabetes, darah tinggi dan sebagainya. Dek kerana itu, syarikat Cosway telah menubuhkan ladang organik yang membekalkan sayuran-sayuran dan daging organik yang boleh dibeli dengan harga yang murah berbanding di pasaran. Ketepikan dahulu soal keuntungan yang dicari tetapi inisiatif syarikat ini dalam merangsang masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup sihat sewajarnya diberi kepujian. Objektif syarikat yang bertindih dengan tanggungjawab sosial ialah satu strategi yang memberi manfaat sepenuhnya kepada kedua-dua pihak maka ia tidak perlu dipersoalkan. Sebagai masyarakat, berfikirlah dengan bijak untuk merebut peluang ini sebaiknya. Faedah yang datang daripada tanggungjawab sosial sektor korporat seumpama ni membolehkan kita mengamalkan gaya hidup sihat dengan lebih baik dan berkesan.
            Manfaat tanggungjawab sosial korporat atau CSR ini tidak hanya tertumpu kepada aspek pendidikan dan kesihatan masyarakat sahaja. Penekanan terhadap penjagaan alam sekitar seharusnya tidak disisihkan. Persekitaran yang bersih dan selesa mencerminkan asas kehidupan rakyat sesebuah negara. Bagaimanakah untuk menjana ekonomi negara sekiranya aspek alam sekitar diabaikan? Negara yang kotor dan tidak selamat bukan sahaja menakutkan pelancong asing untuk datang melawat malah akan menyekat minat pelabur luar untuk menanam modal di negara ini. Apabila pelancong dan pelabur tidak berani untuk datang ke negara ini, maka tidak hairanlah satu hari nanti Malaysia akan mengalami kebobrokan ekonomi yang serius. Oleh yang demikian, sektor swasta terutama yang terlibat secara langsung dengan persekitaran dituntut untuk lebih sensitif sewaktu menjalankan perniagaan mereka. Hal-hal berkaitan dengan persekitaran sekeliling seharusnya dipandang serius. Pelaksanaan polisi-polisi berkaitan alam sekitar yang telah diwujudkan telah membantu mengelak daripadanya berlaku pencemaran alam memandangkan isu ini dilihat begitu serius dalam kerancakan pembangunan negara untuk menuju ke arah negara yang lebih moden dan berteknologi tinggi. Telekom Malaysia Berhad misalnya telah mewujudkan satu polisi .yang dinamakan Polisi Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran Pekerjaan (OSHE) yang menumpukan ke arah menangani risiko dan kesan aktiviti syarikat terhadap alam sekitar. Program-program  di bawah polisi OSHE ialah kempen kesedaran alam sekitar yang bertemakan ‘Creating Habits Today, Safe Enviroment For Tomorrow’ bukan sahaja melibatkan kakitangan TM malah masyarakat juga turut diberi penekanan akan kepentingan memelihara hutan, menanam pokok, mengurangkan pencemaran dan melindungi kualiti air minuman. Polisi ini turut menekankan aspek pengurangan penggunaan tenaga atau berfokuskan ’teknologi hijau’ apabila mengurangkan pelepasan bahan-bahan penipisan ozon melalui pemberhentian berperingkat penggunaan gas klorofluorokarbon (CFC) di organisasi TM. Tindakan ini sewajarnya dipuji memandangkan ia dapat memberi faedah yang berpanjangan kepada dunia amnya dan masyarakat negara ini khasnya. Selain daripada TM, program ’Hari Tanpa Plastik’ yang dijalankan oleh pasar raya-pasar raya di negara ini pada setiap hari Sabtu memperlihatkan salah satu mangkin yang efektif yang diambil oleh sektor swasta dalam menyahut seruan kerajaan untuk menjamin kesempurnaan alam sekitar. Walaupun kelihatan agak membebankan tetapi masyarakat bukan sahaja akan dapat menikmati kehidupan di dalam persekitaran yang menghijau malah akan melahirkan rakyat yang lebih sihat dan positif. Justeru tidak hairanlah apabila syarikat gergasi seperti Aeon Co (M) Sdn. Bhd turut menganjurkan beberapa program sebagai satu usaha memupuk kesedaran akan pentingkan alam sekitar seperti Aeon’s Tree Planting Activity dan No Plastic Bag Campaign 2010. Manakala kumpulan Hypermarket Giant bersetuju untuk menempatkan logo kempen ’1Malaysia Green, 1Malaysia Clean’ yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan. Aktiviti-aktiviti seumpama ini akan dapat mendidik masyarakat untuk lebih bersikap ’ambil berat’ terhadap alam sekitar dan merealisasikan impian membentuk sebuah negara maju berkonsepkan ’bumi hijau’ akan terlaksana.
            Rasionalnya, aktiviti-aktiviti yang ditaja atau dianjurkan oleh sektor swasta sebagai memenuhi tanggungjawab sosial mereka adalah satu inisiatif yang harus digerakkan secara kolaborasi dan berterusan. Manfaat yang diperoleh hasil daripada penglibatan sektor swasta secara pragmatis dan efektif sangat berguna kepada masyarakat hari ini dan generasi akan datang . Persis kata Mahatma Gandhi ”kita tidak mewarisi alam sekitar ini daripada nenek moyang tetapi kita meminjamnya daripada generasi masa hadapan”.       Salah satu perkara yang begitu didambakan oleh masyarakat melalui manfaat tanggungjawab sosial korporat ialah melalui sudut ekonomi. Walaupun kegoyahan ekonomi masyarakat Malaysia dasawarsa kini tidak berada di tahap yang membimbangkan namun percambahan kes kecurian, penculikan dan gejala rasuah merupakan variasi intiha yang sangat jelas akan wujudnya masalah ekonomi di kalangan masyarakat.   Walaupun pihak kerajaan tidak pernah bersikap ’lepas tangan’ dan sentiasa bergerak aktif dengan mengobservasi punca, sektor swasta tidak seharusnya sekadar mengerling enteng menangani polemik ini. Masyarakat sememangnya menggesa penglibatan aktif sektor korporat untuk sama-sama turun padang bagi membejatkan masalah ini.  Program TUKAR atau Transformasi Kedai Runcit yang sedang aktif dijalankan sekarang merupakan usaha kerajaan untuk membantu peniaga kecil-kecilan meningkatkan jualan seterusnya mengembangkan perniagaan mereka. Program ini akan dapat mengukuhkan lagi sumber kewangan dan ekonomi peniaga kecil-kecilan. Justeru kesanggupan peniaga-peniaga besar seperti pasar raya Giant, Tesco dan Mydin bersetuju untuk menjadi mentor atau konsultan haruslah diberi pujian. Kesemua konsultan yang dilantik akan berperanan memberi khidmat nasihat pemodenan, penyediaan perancangan dan latihan peruncitan kepada semua peruncit yang terlibat.  Harapan yang begitu tinggi digalas oleh sektor korporat ini sebagai membuktikan tanggungjawab sosial korporat mereka akan dapat menjadi pemangkin kepada peruncit tempatan melakukan anjakan paradigma. Kejayaan program ini nanti akan dapat memberi implikasi positif bukan sahaja kepada peruncit tempatan malah pengguna di Malaysia amnya. Pengguna akan dapat berbelanja dengan lebih berhemah dalam persekitaran kedai runcit yang lebih meyakinkan. Selain daripada kolaborasi dengan pihak kerajaan tanggungjawab sosial korporat juga dilihat bergerak dengan sendiri. Marcapada ini, ramai yang boleh tersenyum apabila Tenaga Nasional Berhad melalui tanggungjawab sosial korporat telah mengambil ikhtiar positif membantu mereka yang kurang berkemampuan untuk membaik pulih rumah yang rosak. Program Rumahku Syurgaku atau Baiti Jannati ini tidak sekadar berfokuskan sebuah negeri sahaja malah seluruh Malaysia dan telah melibatkan perbelanjaan hampir RM1.7 juta sejak dilancarkan pada tahun 2008. Pelaksanaan berterusan ini boleh dikatakan di antara manfaat positif yang diperoleh oleh rakyat Malaysia yang kurang berkemampuan untuk menikmati hidup yang lebih baik. Rumah yang sempurna akan dapat melahirkan isi rumah yang cemerlang. Justeru faedah yang dinikmati hasil sumbangan TNB ini membolehkan anak-anak bangsa yang terpinggir dapat terus berjuang melawan arus dalam dunia kontemporari hari ini.  Bukan hanya TNB yang sudi memberi sumbangan kepada bangsa dan negara tetapi sektor korporat yang lain seperti Perbadanan Insurans Deposit Malaysia atau PIDM turut memainkan peranannya sendiri. Menyedari akan terdapat masyarakat yang mengharapkan sokongan sektor swasta bagi menampung sara hidup pengajian, maka PIDM telah menyediakan biasiswa kepada mereka yang tidak berkemampuan tetapi berminat untuk menyambung pengajian. Bantuan dari PIDM ini akan dapat memastikan generasi yang berintelek tinggi tidak akan tercicir seterusnya setelah tamat pengajian akan mendapatkan pekerjaan untuk mengukuhkan kembali ekonomi keluarga.
             Peluang dan bantuan daripada sektor swasta yang memahami keadaan ekonomi masyarakat dewasa ini begitu signifikan buat masyarakat Malaysia. Sumbangan ini tidaklah mengimpikan masyarakat untuk hidup mewah namun cukuplah sekadar dapat menampung ekonomi mereka. Merebut apa juga sumbangan yang dihulurkan melalui tanggungjawab sosial korporat ini ialah sesuatu yang tidak sewajarnya dilepaskan begitu sahaja.
            Jika di tebak dengan persoalan, sejauh mana tanggungjawab sosial korporat memberi manfaat kepada masyarakat? Jawapannya sangat mudah dan ringkas, tidak terjangkau dek mata yang memandang. Berdasarkan variasi intiha yang telah dikemukakan di atas, ’sudah terang lagi bersuluh’ masyarakat sememangnya memperoleh manfaat yang cukup besar meliputi pelbagai sudut seperti pendidikan, kesihatan, alam sekitar dan ekonomi. Timbul pula persoalan, sejauh manakah tahap kepuasan masyarakat sebagai pengguna berdasarkan manfaat yang diperoleh tersebut?. Sebagai manusia biasa tentunya tidak pernah mencukupi namun bersyukurlah di atas apa yang telah diperoleh. Walau bagaimanapun, beberapa cadangan mungkin boleh diguna pakai sebagai memperkasakan tanggungjawab sosial sektor korporat ini. Pertamanya, menjadikan tanggungjawab sosial ini sesuatu yang lebih bersifat terbuka dan tidak menyasarkan kepada satu kelompok sahaja. Ini kerana terdapat sektor korporat yang menjalankan tanggungjawab ini hanya ke atas mereka yang boleh membawa pulangan keuntungan kepada syarikat semata-mata dan bukan kepada mereka yang lebih memerlukan. Perkara seumpama ini hendaklah dielakkan supaya manfaat daripada sumbangan sektor korporat ini akan dapat dirasai oleh semua pihak. Keduanya, tanggungjawab sosial korporat ini hendaklah hadir daripada keikhlasan untuk melaksanakan tanggungjawab dan bukan sebagai satu bentuk paksaan. Wujudnya rasa bertanggungjawab terhadap komuniti yang telah menjadi tunjang perniagaan iaitu pengguna hendaklah dipupuk di setiap peringkat organisasi korporat.  Jika dilaksanakan atas dasar rasa ikhlas ia akan lebih berterusan dan lebih saksama. Ketiganya, pelaksanaannya hendaklah lebih variasi daripada segi masa dan tempat. Banyak syarikat yang menjalankan tanggungjawab sosial korporat ini tetapi lebih memfokuskan kepada tempat dan masa yang sama sahaja setiap tahun. Adalah lebih molek andainya sumbangan ini dapat dilebarkan lebih luas supaya semua yang layak akan dapat menikmati manfaat ini. Contohnya, sumbangan derma tidak tertumpu kepada rumah-rumah anak-anak yatim di sekitar bandar sahaja tanpa mengambil kira rumah-rumah anak yatim di luar bandar yang tentunya lebih memerlukan.

Tuntasnya, pemangkin kepada merealisasikan usaha ini ialah sokongan yang perlu hadir daripada seluruh masyarakat Malaysia. Tidak kiralah sama ada petani di Hulu Perak atau tokoh korporat di Kuala Lumpur. Semua individu ini memainkan peranan masing-masing bagi memastikan tanggungjawab sosial korporat ini sesuatu yang lumrah dan begitu sebati di Malaysia sehinggakan suatu saat nanti, tidak akan timbul persoalan ’sejauh mana tanggungjawab sosial korporat memberi manfaat kepada masyarakat?”.

No comments:

Post a Comment

PROPA AZZA

Salam.. Saja nak nunjuk pada korang majalah yang aku buat sempena Sukan PKN hahahahahah.......... Waktu tu takda keje sangat ...