MyESEI - TUN DR. MAHATHIR : IKON MEMBACA KEBANGSAAN PENGGERAK KEMAJUAN NEGARA BANGSA


YABhg Tun Dr. Mahathir bin Mohamad. Siapa yang tidak kenal insan ’gah’ ini yang pernah mengabdikan diri sebagai pemimpin tertinggi negara hampir tiga dasawarsa. Tidak pernah lekang dengan hasil cetusan idea yang segar dan berani yang kadang-kadang ’melawan arus’ cukup membuktikan anak jati Alor Setar, Kedah ini selayaknya berada di tempatnya saat itu.  Dek kerana itulah beliau telah digelar sebagai Pencetus Minda Malaysia kerana sering tampil dengan ilham baru yang melangkaui zamannya dalam memahat nama Malaysia di setiap pelosok benua. Berbekalkan daya intelektual yang tinggi dan bersandarkan kepada pemikiran strategi yang dimiliki beliau terus memacu negara Malaysia ke arah negara maju. Menara Berkembar Petronas, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan idea Wawasan 2020 merupakan bukti penting bahawa idea bernas mantan Perdana Menteri Malaysia ini sangat berharga. "Tak lekang dek panas, tak lapuk di hujan”, idea beliau masih terus di guna pakai sehingga ke hari ini. Malah, beliau juga sering kali diminta untuk menyumbang pendapat dan cadangan dalam menyelesaikan masalah-masalah yang timbul di negara ini. Kreativiti dan inovasi hasil daripada pemikiran beliau ini telah membantu dalam menggerakkan kerancakan pertumbuhan ekonomi, politik dan sosial negara Malaysia. Melihat kepada skala pemikiran besar yang dimiliki insan tersohor ini ‘sejarahnya’ bermula daripada sikap suka membaca yang dimilikinya. Berpegang kepada prinsip bahawa pembelajaran adalah proses seumur hidup menuntut beliau sentiasa memenuhi ilmu di dada dengan cara membaca. Sikap suka membaca yang dimiliki inilah telah membawa kepada tahap pemikiran yang sangat tinggi dan ilmu pengetahuan yang luas. Relevan dengan percaturan dunia hari ini yang bersaing sengit dengan kepelbagaian teknologi memerlukan minda masyarakat hari ini perlu lebih luas dan terbuka dalam memastikan kita tidak ketinggalan jauh dengan negara luar. Justeru, meletakkan insan bernama YABhg Tun Dr. Mahathir bin Mohamad sebagai Ikon Membaca Kebangsaan 2011 adalah satu pilihan yang sangat tepat untuk dicontohi generasi hari ini.
            Bergerak ke arah dunia globalisasi hari ini, pentadbiran sesebuah negara dalam menuju masa depan memerlukan rakyat yang berdaya saing, intelektual tinggi, kreatif dan inovatif. Memastikan sebuah negara yang hebat dan maju di masa depan memerlukan masyarakat hari ini lebih berani untuk tampil dengan pelbagai idea yang lebih baru dan segar. Justeru, dengan adanya sikap suka membaca inilah yang sudah pasti akan mewujudkan masyarakat yang lebih berfikiran kreatif dan mempunyai imaginasi yang tinggi dek kerana akal yang sentiasa aktif.  Ketandusan idea dan kekeringan ilham rakyat merupakan satu ‘malapetaka’ kepada sesebuah negara. Pelbagai masalah tidak dapat diselesaikan sekiranya minda pemimpin atau masyarakat tersekat dan tidak berkembang. Ini akan menyebabkan pentadbiran negara akan lumpuh yang seterusnya membawa kepada keruntuhan negara.
            Dua puluh tahun yang lepas, YABhg Tun Dr. Mahathir bin Mohamad telah berjaya menzahirkan pelbagai idea yang kreatif dan inovatif dalam melahirkan sebuah negara Malaysia sepertimana hari ini bersandarkan sikap suka membaca yang dimilikinya. Bukti nyata yang sememangnya tidak boleh disangkal lagi adalah idea membentuk Wilayah Persekutuan Putrajaya sebagai pusat pentadbiran kerajaan. Lahirnya Wilayah Persekutuan Putrajaya ini berjaya melicinkan lagi perjalanan pentadbiran negara Malaysia di samping kos pentadbiran yang lebih efektif. Melihat kepada sistem pentadbiran negara jiran yang berkecamuk telah membuktikan kepada kita hari ini sememangnya idea YABhg Tun Dr. Mahathir bin Mohamad merupakan satu idea yang sangat bijak. Meletakkan pentadbiran kerajaan di satu tempat yang sama sememangnya melicinkan dan memudahkan lagi segala bentuk proses kerja di samping dapat mengurangkan kos pentadbiran.
            Nah! Sudah ’sudah terang, lagi bersuluh’ melalui pembacaan akan dapat menaik taraf sistem pemikiran ke arah yang lebih optimum dan berkualiti. Hal seumpama ini amat perlu ketika ini bagi memberi jaminan supaya satu hari nanti sebuah negara bernama Malaysia terus kekal di peta dunia.

            Pertumbuhan ekonomi yang tidak seragam, perbalahan politik yang melampau dan peperangan yang melanda di beberapa buah negara luar adalah merupakan senario hari ini yang sangat menakutkan. Walaupun negara ini masih belum terjejas dengan fenomena tersebut  dan hanya sekadar merasai sedikit tempiasnya namun kita perlu ‘sediakan payung sebelum hujan’. Memastikan kejadian seumpama ini tidak berlaku di negara ini, ianya menuntut masyarakat bersedia daripada setiap sudut terutama ilmu pengetahuan. Berbekalkan kepada ilmu pengetahuan yang dimiliki akan dapat membantu untuk menyelesaikan sebarang masalah yang timbul dengan lebih mudah dan berkesan. Pemimpin negara yang bijak serta rakyat yang berilmu akan mengelak daripada ditipu atau dalam bahasa kasarnya diperkotak-katikkan oleh orang luar dengan sewenang-wenangnya. Sebuah negara yang kukuh dan ampuh memerlukan rakyat yang berani menanggung risiko dan mampu untuk ’berdiri di atas kaki sendiri’.
            Dek kerana mempunyai ilmu pengetahuan yang luas mencakupi segala bidang, YABhg Tun Dr. Mahathir bin Mohamad sendiri telah membuktikan bahawa pemikiran berisiko adalah amat diperlukan dalam menyelesaikan masalah yang timbul. Pada zaman kemelesetan ekonomi di rantau Asia, beliau dengan berani menyerang George Soros, spekulator mata wang antarabangsa, Tun Dr. Mahathir menganggap Soros sebagai penyangak mata wang dunia. Menyanggah Soros seorang tokoh kewangan dunia dan tidak mengguna pakai cadangan bank dunia adalah risiko terhadap Malaysia, bak kata pepatah, tersilap langkah, ’antan patah lesung hilang’. Walau bagaimanapun dengan keberanian dan kebijaksanaan yang dimiliki oleh beliau telah berjaya membawa Malaysia keluar daripada kepompong kemelesetan ekonomi ketika itu. Sikap ’ulat buku’ yang dimiliki oleh YABhg Tun Dr. Mahathir bin Mohamad merupakan bukti kukuh lagi ampuh bahawa ilmu pengetahuan yang mendalam adalah amat diperlukan dalam membuat keputusan yang bijak dan penyelesaian masalah.
            Jika sikap suka membaca ini diteladani oleh generasi hari ini, kita tidak perlu lagi takut dengan ancaman luar. Pengetahuan yang luas merangkumi semua bidang akan memastikan pertumbuhan ekonomi, kestabilan politik dan keamanan sosial pastinya akan menjadi hak milik mutlak negara ini.
                        Memetik ucapan YABhg Tun Dr. Mahathir bin Mohamad di dalam perutusannya sempena Tahun Baru 2011, ”Maju mundurnya sesuatu bangsa tidak bergantung kepada keturunan kaum atau warna kulit. Sebab itu ada bangsa Eropah yang amat mundur dan ada bangsa Asia yang termaju sekali. Maju mundurnya sesuatu bangsa bergantung kepada budaya bangsa itu. Dan budaya bukan sesuatu yang tetap dan tidak dapat diubah. Budaya berubah sepanjang masa dan boleh di corak secara sengaja”. Merujuk kepada ayat-ayat ini menunjukkan bahawa tabiat membaca boleh dijadikan salah satu budaya di negara kita Malaysia supaya masyarakat luar boleh menjadikan Malaysia sebagai contoh masyarakat yang suka membaca. Dipandang dari pelbagai sudut sebenarnya amat sukar untuk mencari keburukan daripada tabiat membaca ini. Justeru memupuk tabiat suka membaca di kalangan masyarakat hari ini memungkinkan masyarakat Malaysia diangkat menjadi contoh apabila soal membaca menjadi tajuk utama di negara mereka.
            Mengapakah beliau cukup disegani di pentas antarabangsa? Tidak lain dan tidak bukan adalah kerana fakta dan pengetahuan yang ada padanya. Tun Dr. Mahathir pernah mematahkan hujah dan tohmahan George Bush (merupakan  Presiden Amerika ketika itu)  ketika Sidang Bumi di Rio de Janerio, Brazil yang menyatakan Malaysia merupakan punca utama kepada pencemaran alam di Asia Tenggara disebabkan Malaysia menebang hutan secara berleluasa. Tuduhan itu dinafikan dan secara nyata Tun Dr. Mahathir mengemukakan fakta mengenai begitu banyak kereta dan kilang di Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan asapnya secara tidak terkawal. Asap daripada kenderaan dan kilang menyerap ke dalam udara Eropah malah angin
yang bertiup membawa pencemaran itu ke negara Asia. Ertinya negara-negara Asia ikut mendapat kesan daripada pencemaran asap yang dimulakan di Amerika Syarikat. Tuduhan Amerika Syarikat itu umpama ’meludah ke langit, jatuh ke muka sendiri’.
            Kesan daripada keberanian dan kebijaksanaan pemikiran mantan Perdana Menteri Malaysia ini secara langsung telah mengangkat martabat negara di mata masyarakat luar.
            Transformasi negara pasti akan menemui jalan buntu sekiranya masyarakat hari ini buta ilmu. Sikap tidak suka membaca tetapi kerap membazir masa boleh menjurus kepada kebobrokan sesebuah negara. Justeru untuk terus ’berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah’ dengan negara maju, rakyat  Malaysia seharusnya dipupuk dengan sikap suka membaca. Wadah ini merupakan pilihan terbaik untuk memastikan transformasi negara menemui titik realiti. Bekas Presiden Indonesia, Megawati Soekarnoputri misalnya pernah mengilhamkan ’Gerakan Membaca Nasional’ bagi memastikan rakyat tidak membuang masa begitu sahaja. Justeru, rakyat Malaysia harus sedar akan peri pentingnya tabiat membaca. Tambahan pula dalam dunia teknologi serba canggih hari ini mereka tidak perlu lagi mengusung buku ke sana ke mari, malahan dengan hanya satu ’klik’ sahaja mereka sudah boleh mendapat bahan bacaan. Nah! apa lagi yang hendak dicari jika semuanya sudah ’di hujung jari’. Tiada alasan lagi untuk membazir masa.
            Menjejaki fasa kehidupan insan yang bernama  YABhg Tun Dr. Mahathir bin Mohamad tidak pernah berubah hobi beliau dalam mengisi masa lapang. Bermula daripada insan biasa sehingga bergelar mantan Perdana Menteri Malaysia beliau tidak pernah membiarkan setiap saat berlalu pergi begitu sahaja. Beliau pastinya akan mengisi masa senggang dengan membaca buku. Walau sesibuk mana pun beliau menjalani kehidupan sebagai seorang pemimpin tertinggi negara beliau tetap menjadikan amalan membaca sebagai salah satu rutin harian. Jika individu yang sehebat beliau masih lagi membaca apatah lagi kita yang hanya mempunyai sedikit ilmu sahaja.
            Mengisi masa lapang dengan membaca merupakan suatu perkara mudah yang boleh dilakukan oleh semua individu sama ada pak tani nun di utara Perlis sehingga tokoh korporat di selatan Johor. Sebenarnya hanya dengan satu perkataan kita mampu mengubah dunia. Justeru, mana mungkin kita akan dapat mencari perkataan tersebut jika kita individu yang suka membazir masa dan malas membaca. Menjadikan amalan membaca sebagai satu komitmen di masa lapang merupakan satu alternatif yang paling bijak.

            Tabiat membaca bukan sekadar dapat meningkatkan daya intelektual, menambahkan ilmu pengetahuan, memenuhi masa lapang dan meningkatkan martabat diri seseorang tetapi salah satu implikasi positif hasil daripada ’ketagihan’ ini ialah membantu seseorang itu untuk membezakan yang baik dan buruk. Kebijaksanaan dalam membuat perbandingan adalah perlu bagi seseorang individu untuk mengecap hidup yang lebih baik. Tidak dapat membezakan baik atau buruk sesuatu perkara boleh membawa seseorang itu terjerumus ke arah yang negatif. Mendapatkan pengajaran melalui membaca membantu setiap individu untuk membuat penilaian melalui pemikiran yang lebih terbuka dan kritis.
             Menyaksikan negara-negara luar yang semakin rancak pertumbuhan ekonominya, YABhg Tun Dr. Mahathir bin Mohamad pernah mengemukakan beberapa idea yang mungkin dianggap gila oleh sesetengah orang. Walau bagaimanapun jika tidak kerana ’idea gila’ oleh Tun Dr. Mahathir dua dekad yang lalu, Malaysia mungkin bukan sebuah negara yang maju seperti hari ini. Idea untuk mengeluarkan kereta sendiri sedangkan negara ketika itu masih lagi merangkak dalam sektor perindustrian telah mendapat kritikan pelbagai pihak dan menjadi bahan kempen untuk pihak pembangkang. Walau apa pun cacian, kata-kata keji dan kutukan yang diterima, Tun Dr. Mahathir tetap nekad untuk merealisasikan impian itu yang mana ianya menjadi titik permulaan revolusi industri perindustrian di Malaysia.  Bermula daripada saat itu Malaysia terus ke hadapan, dari merangkak ke berjalan, dari berjalan terus berlari. Kini Malaysia boleh berbangga dengan KLCC, Formula 1, KLIA dan KL Sentral hasil daripada perbandingan yang pernah dibuat oleh Tun Dr. Mahathir dengan negara luar satu masa dahulu.
            Hasil pengetahuan yang luas daripada tabiat membaca secara jelas memudahkan individu untuk melihat akan pro dan kontra sesuatu perkara.  Membuat penilaian, perancangan dan seterusnya membuat keputusan adalah sesuatu yang perlu dihadapi oleh setiap individu. Justeru, pengajaran yang diterima hasil daripada pembacaan kadang-kadang bukan sahaja membantu tetapi menentukan keputusan yang dibuat.
            Tuntasnya, dalam dunia globalisasi hari ini menuntut masyarakat Malaysia mempersiapkan diri mereka dengan kepelbagaian ilmu supaya tidak ketinggalan dengan persaingan sengit yang berlaku mutakhir ini. Pemupukan budaya membaca harus diteruskan dengan lebih agresif kerana ilmu yang diperoleh daripada amalan membaca amat berharga. Oleh itu, kesedaran tentang pentingnya membaca adalah titik tolak utama ke arah melahirkan budaya membaca di kalangan masyarakat di negara ini. Tidak perlu lagi menoleh ke belakang kerana bukti konkrit sudah berada di depan mata. Minat Tun Dr. Mahathir menjadikan membaca sebagai salah satu komitmen dalam hidup perlu dijadikan tauladan semua pihak. Minat yang membaca yang sebati di dalam dirinya telah berjaya membuka mata dunia bahawa wujudnya Malaysia sebagai sebuah negara yang tidak boleh di pandang enteng. Mengangkat insan tersohor seperti  YABhg Tun Dr. Mahathir bin Mohamad sebagai ikon membaca kebangsaan bukan lagi pilihan tetapi keputusan yang tepat.
            Legasi YABhg Tun Dr. Mahathir bin Mohamad wajib terus kekal untuk menjadi bukti kepada masyarakat Malaysia bahawa membaca adalah satu perkara yang positif. Membaca akan dapat menjana pemikiran seseorang dalam melahirkan idea yang bernas, menambahkan ilmu pengetahuan, meningkatkan martabat diri, mengisi masa lapang dan juga bijak dalam membezakan sesuatu perkara. Tiada gunanya lagi untuk beresolusi dan berbincang mencari jalan penyelesaian jika implementasinya tidak dimulakan sekarang.
            Meminjam kata-kata Presiden Soekarno, ”Berteman seribu orang pemuda yang gagah, aku mampu memecahkan Gunung Semeru namun dengan hanya sepuluh orang pemuda yang bersifat revolusionar aku mampu menggoncang dunia”. Ayuh! Masyarakat Malaysia harus memulakan ’revolusi membaca’ supaya ianya akan menjadi budaya dan bukan hanya sekadar ‘kisah dongeng’.

PROPA AZZA

Salam.. Saja nak nunjuk pada korang majalah yang aku buat sempena Sukan PKN hahahahahah.......... Waktu tu takda keje sangat ...